SETIAP kali Ramadan, selain singgah ke bazar, berbuka puasa di hotel untuk menikmati sajian secara bufet yang menawarkan beratus-ratus menu setiap hari menjadi pilihan umat Islam.
Walaupun harga bufet Ramadan tahun ini dilihat agak tinggi iaitu sekitar RM120 hingga RM250 untuk seorang, namun ia masih mendapat permintaan terutama syarikat korporat.

Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Prof Dr Hariza Ahmad Hashim berkata, umat Islam diingatkan tujuan sebenar amalan berpuasa yang menggalakkan kesederhanaan.
Menurutnya, sebaik-baik amalan ialah bersederhana ketika berbuka puasa berbanding memilih pakej bufet Ramadan yang menawarkan harga melampau.
“Umat Islam perlu berbuka puasa dengan kadar berpatutan sahaja memandangkan kita diajar supaya berjimat. Malah, kita kena sedar banyak orang yang tidak mempunyai makanan cukup.
“Jadi, kita tidak patut melakukan pembaziran. Lagipun bufet agak mahal harganya dan dalam keadaan ekonomi ketika ini kita patut utamakan keperluan lain yang lagi penting.
“Berpuasa ini untuk kita menghayati kesusahan bukan bermewah dengan makanan sehingga mengabaikan kesihatan tubuh,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan setiap individu merancang kewangan dengan berhemah bagi memastikan tidak berbelanja berlebihan pada Ramadan.
“Saya rasa sangat tidak wajar dalam keadaan kritikal ini (perbelanjaan musim persekolahan, Ramadan dan Aidilfitri) jika kita berbelanja mahal dan mewah berbuka puasa di luar.
“Sediakan bajet sesuai ketika berbelanja dapat mengelak pengguna daripada terlebih berbelanja dan mengurangkan pembaziran. Beli sekadar perlu sahaja.
“Selain itu, menyediakan menu juadah berbuka sendiri terutama mereka yang mempunyai keluarga besar dilihat salah satu kaedah dapat membantu mengawal perbelanjaan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim meminta umat Islam berbalik kepada fitrah Ramadan.
“Berbuka di bufet atau restoran dibenarkan dan diharuskan sekiranya tidak membawa pembaziran atau berhutang semata-mata untuk menonjolkan gaya hidup.
“Ada yang makan banyak melampaui batas dan terlalu lama disebabkan sudah membayar harga mahal sehingga tidak solat berjemaah atau tarawih. Makanlah secara sederhana bagi mengekalkan kesihatan,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan umat Islam supaya memperbanyakkan amalan menambah pahala bukannya mencemari kesucian dengan pembaziran atau berbelanja secara berlebihan.
“Kadang-kala kos sekali makan buffet terutama mereka yang mempunyai keluarga besar boleh mencecah perbelanjaan bahan mentah untuk sebulan.
“Ukur baju di badan sendiri, tetapi jika berkemampuan, bolehlah tambah pahala dengan bersedekah kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Dekan Jaringan Industri Fakulti Pengajian Islam (FPI) berkata, umat Islam juga perlu memastikan restoran yang dikunjungi mempunyai sijil halal dan diyakini kebersihannya. – Malaysiapost