KEJAYAAN atau kegagalan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim le Arab Saudi tidak boleh dinilai dalam tempoh hanya tiga hari lawatannya ke negara berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata sebaik sahaja Perdana Menteri pulang dari lawatannya itu semalam, pembangkang terus membangkitkan isu untuk menunjukkan lawatan itu gagal.
Menurutnya, tiga isu dibangkitkan adalah, Perdana Menteri hanya disambut Gabenor Jeddah sahaja; tidak masuk Kaabah; dan tiada pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed Salman.
“Bagi menyedapkan lagi cerita, mereka membandingkan kejayaan lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas Perdana Menteri) dengan Anwar. Kata mereka, semasa Muhyiddin melawat Saudi, beliau dan rombongannya disambut oleh Raja Salman.
“Realitinya ialah Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi hanya setelah setahun menjadi Perdana Menteri. Hasrat Muhyiddin untuk bertemu Raja Salman secara bersemuka pada Mac 2021 gagal apabila bertemu secara dalam talian sahaja.
“Tetapi kerana perbezaan (atau mungkin dendam) politik, lawatan Anwar digambarkan sebagai membazir duit negara dan sekadar lawatan makan angin sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjawab persoalan dibangkitkan pembangkang yang melihat lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi sebagai suatu ‘kesipuan diplomatik’ kerana gagal bertemu ketua negara berkenaan.
Mohammad Agus berkata, sepanjang Perdana Menteri dan deligasi berada di Arab Saudi pelbagai kejayaan diperoleh dalam lawatan berkenaan antaranya pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Muslim Dunia di Makkah.
“Pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MOU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn. Bhd.
“Mendengar taklimat ahli perniagaan Malaysia mengenai penglibatan meluas mereka dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaru Arab Saudi, dan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia di sana. Membincangkan isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta kerjasama bersama.
“Tidak berjaya lagikah lawatan Perdana Menteri dengan apa yang telah dilakukan dalam tempoh tiga hari lawatannya ke Saudi? Jika tidak berjaya lagi, saya tidak tahulah apa ukuran kejayaannya dari kaca mata pihak pembangkang,” katanya.
Menurutnya, Anwar juga sudah menjelaskan tidak dapat bertemu Raja Salman dan Putera Mahkota kerana pimpinan Arab Saudi itu telah memohon supaya kunjungannya diperpanjangkan dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan.
“Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan. Namun, Anwar terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi.
“Menolak kerana beliau dan kabinetnya ada majlis berbuka puasa dengan Agong malam tadi, selain lawatan sehari ke Kemboja pada 27 Mac ini, dan lawatan ke China pada 29 Mac ini.
“Tidakkah padat jadual itu? Tidakkah melibatkan perubahan besar jika ditangguhkan kepulangan dua hari lagi? Fahamilah kekangan masa Perdana Menteri kita yang bekerja kuat untuk negara,” katanya.
Beliau turut menjelaskan ketiadaan Menteri Agama dalam kunjungan Perdana Menteri Ke Arab Saudi adalah berkaitan dengan hal ehwal semasa dan perdagangan, bukannya urusan agama.
“Pembangkang juga mendakwa Raja Salman dan Putera Mahkotanya tidak suka Perdana Menteri kita. Faktanya ialah mereka adalah antara pemimpin luar pertama yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar selepas mengangkat sumpah jawatan.
“Jadi, apa masalahnya dengan lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi setelah tidak dapat berjumpa dengan pemimpin mereka? Masalahnya ialah pemimpin pembangkang sengaja hendak memalukan Perdana Menteri dan bermain politik.
“Bermain politik pun janganlah sampai ke tahap dendam dan benci. Kita sama-sama perlu menjaga imej dan hubungan baik dua negara,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Agus juga meminta pembangkang supaya bertanyakan sendiri tentang hasil lawatan dan kos lawatan ke Arab Saudi, di Parlimen ketika sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) setiap Selasa. – Malaysiapost