DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakan Kerajaan Perpaduan melantik Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pelantikan bekas Ketua Pemuda Umno kepada jawatan itu adalah berdasarkan
pengalaman luasnya dalam bidang perbankan dan kewangan Islam selain mempunyai kelulusan tinggi untuk menerajui organisasi itu.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno menegaskan pelantikan Asyraf itu bukanlah atas pelantikan politik semata-mata.
Jelasnya, dengan latar belakang kelulusan serta pengalaman yang dimiliki Asyraf diharapkan dapat membantu membangunkan Mara sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.
“Lantikan beliau (Asyraf) kerana sebelum terlibat dalam politik beliau seorang yang pakar dalam bidang perbankan Islam malah mempunyai pengalaman dan kelulusan tinggi.
“Maka rugi lah dengan pengalaman dan kelulusan beliau kalau kita tak gunakan untuk bersama-sama dengan saya bagi membangunkan Mara,” katanya ketika diminta mengulas kritikan beberapa pihak mengenai pelantikan Asyraf itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang aktivis anti-rasuah mengkritik pelantikan Asyraf sebagai Pengerusi Mara yang baharu kerana akan menimbulkan banyak tanda tanya.
Edmund Terence Gomez berkata, kerajaan tidak boleh mengambil seorang ‘ahli politik tidak dikenali’ dan melantiknya ke salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Kita tidak tahu sama ada ini dilakukan dengan niat baik atau dilakukan atas sebab politik,” katanya dalam forum bertajuk ‘Rasuah sebagai Masalah Ekonomi’. – Malaysiapost