SOKONGAN orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) di Selangor masih tinggi, dakwa Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor itu menaruh keyakinan PH akan dapat mempertahankan sekali lagi negeri yang mereka kuasai sejak tiga penggal lalu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor menegaskan, gabungan itu masih menjadi pilihan rakyat untuk mentadbir negeri itu.
Jelasnya, berdasarkan pemerhatiannya, mendapati majoriti rakyat Selangor masih memberi sokongan kepada pakatan berkenaan seterusnya mengekalkan penguasaan di Selangor sejak tahun 2008.
“Dapatan yang dibuat Dr. Ong Kian Meng (Bendahari DAP Selangor) mendapati undi bukan Melayu ke atas PH agak tinggi (pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu).
“Malah, undi orang Melayu juga tinggi untuk kita. Kalau tidak, tak kan kita menang di Parlimen Gombak dan Ampang pada November lalu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2023 di Grand Centro Ballroom, Klang, hari ini.
Pada masa sama, Amirudin menggesa jentera PH bekerja dengan lebih kuat lagi bagi menawan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terutamanya di bahagian Selangor Utara susulan.
Amirudin juga yakin beberapa kerusi DUN seperti Batang Kali dan Jeram akan dapat dirampas semula PH pada PRN nanti berikutan kerjasama dengan Barisan Nasional menerusi Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan kerajaan negeri ketika ini. – Malaysiapost