336 kanak-kanak didera di pusat jagaan – Nancy

SEBANYAK 336 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan berlaku di rumah pengasuh dan pusat asuhan dalam tempoh 2021 hingga 2022.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kes itu melibatkan pelbagai kategori termasuk rumah pengasuh, taska berdaftar, taska tidak berdaftar dan sebagainya.

Justeru, beliau mengajak semua pihak mengadakan program berunsurkan nilai untuk mewujudkan ekosistem bagi membolehkan semua masyarakat mempunyai kesedaran dan membantu jika berlaku kes penderaan.

“Sekiranya ada maklumat membabitkan penderaan segera hubungi 15999.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kita yang cepat bertindak dan mengikut proses dalam menyelesaikan kes membabitkan penderaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang memintanya menyatakan peratusan kes penderaan kanak-kanak setahun di Malaysia dan sejauh mana usaha kerajaan untuk menangani kes berkenaan.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS – Sri Aman) yang memintanya menyatakan langkah-langkah diambil untuk menangani masalah penderaan dan sosial membabitkan kanak-kanak, Nancy berkata, pelbagai langkah telah diambil.

“Antara langkah-langkah segera yang telah dilaksanakan oleh KPWKM adalah mewujudkan Garis Panduan Pengurusan Penempatan Kanak-Kanak kepada Ibu Bapa dan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

“Melalui Garis Panduan ini, pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai rujukan dan panduan secara terperinci dalam proses membuat syor pihak yang layak menjadi OYLS, sebelum diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pegawai pelindung JKM terus diberikan pendedahan serta latihan yang berterusan dalam usaha mempertingkat dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights