Guan Eng saman Muhyiddin

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng mengemukakan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung tuduhan membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

Guan Eng, 62, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu menerusi firma guaman Tetuan Guok Partnership di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini dengan menamakan Muhyiddin sebagai defendan tunggal, lapor Berita Harian.

Dalam pernyataan tuntutannya, Guan Eng berkata, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulang Pinang, mendakwa Muhyiddin juga mengeluarkan kenyataan itu pada 11 dan 12 Mac lalu di dalam Facebook miliknya dan kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kenyataan fitnah berkenaan sengaja dibuat kerana Muhyiddin mengetahui beliau menjadi perhatian media, oleh itu ia bertujuan mencari publisiti murahan dan cuba mengalih perhatian awam.

Guan Eng berkata, kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti.

Dalam masa sama, menurut Guan Eng, ia juga bermaksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu dan anti-Islam dengan sengaja menyasarkan Yayasan Albukhary dan dirinya serta sengaja mensabotaj yayasan berkenaan.

Katanya, ia juga bermaksud beliau seorang yang pendendam dan bertindak dengan niat jahat dengan menyalahgunakan kuasa ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 2018 hingga 2020, serta seorang menteri yang tidak cekap.

Sehubungan itu, beliau menuntut Muhyiddin memohon maaf dan menarik kenyataan terbabit dan menyiarkan permohonan maaf di media sosial serta dalam beberapa akhbar dan portal berita dalam masa tujuh hari dari tarikh penghakiman.

Guan Eng turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi punitif yang akan ditaksirkan dan ditentukan oleh mahkamah.

Selain itu, beliau turut memohon injunksi menghalang Muhyiddin daripada mengeluarkan atau menerbitkan semula kenyataan fitnah atau apa-apa perkataan fitnah yang serupa. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights