Haram jual makanan basi, hangit – Mufti Pulau Pinang

HARAM hukumnya bagi seseorang peniaga menjual sesuatu makanan yang tidak berkualiti termasuk hangit serta basi.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, peniaga yang menjual makanan tidak elok bukan sahaja menipu dalam transaksi jual beli, malah ia termasuk dalam pengertian memakan harta orang secara salah.

“Ada juga hadis yang bermaksud sesiapa yang menipu barang-barang jualannya maka dia bukan umat kami.

“Jadi saya menyeru peniaga supaya bertimbang rasa terhadap pembeli dan janganlah mengambil kesempatan daripada keperluan orang ramai terutamanya makanan untuk dimakan ketika berbuka puasa.

“Selain itu, bulan Ramadan adalah peluang keemasan bagi para peniaga mencari pahala daripada Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, Islam adalah agama rahmat yang membawa misi kasih sayang dan menyeru kepada persaudaraan antara umat Islam dan sesama manusia.

“Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah bersabda yang bermaksud ‘Allah merahmati seseorang yang bertolak ansur dalam jual beli’.

“Sikap sedemikian termasuk dalam pengertian ‘ihsan’ yang menjadi salah satu tonggak Negara Madani yang dijadikan slogan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Sejak awal Ramadan, tular masih terdapat segelintir peniaga di bazar Ramadan tidak menitikberatkan tentang kualiti makanan yang dijual.

Ia termasuk perkongsian di media sosial menunjukkan popia yang telah rosak, karipap tanpa inti, martabak serta roti john hangit yang dibeli orang ramai di bazar Ramadan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights