Henti tularkan video imam diserang

PIHAK Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan menasihatkan orang ramai agar berhenti menularkan video rakaman memaparkan seorang lelaki kurang siuman menyerang imam solat Subuh di masjid berkenaan semalam.

Imam Besar Masjid Negeri 1, Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah berkata, penularan video tersebut perlu dihentikan demi kebaikan semua pihak.

“Setelah pengumuman ini, pihak masjid tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana pihak yang akan berdepan dengan tindakan undang-undang disebabkan penyebaran video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, menjelaskan mengenai kejadian berkenaan, beliau berkata insiden itu berlaku di ruangan solat lelaki masjid berkenaan pada jam 6.18 pagi.

“Insiden tersebut melibatkan seorang yang kurang siuman terlepas masuk ke dalam masjid sehingga berlaku kejadian yang tidak dijangka.

“Insiden ini tidak melibatkan kecederaan atau kerosakan harta masjid,” katanya.

Terdahulu, tular satu video rakaman memaparkan seorang lelaki kurang siuman menyerang imam di masjid tersebut.

Video berdurasi 30 saat memaparkan lelaki berkenaan menolak beberapa jemaah yang berada dalam saf sebelum cuba memukul imam berkenaan dengan sepasang selipar berwarna putih.

Lelaki berusia lingkungan 40-an yang berbaju Melayu ungu, berkain pelikat serta berseluar hitam kemudian berjaya ditahan oleh jemaah dan pihak keselamatan sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights