‘Kalau PM dimalukan Raja Saudi, rakyat termasuk pembangkang patut bela’

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi tidak sepatutnya dipersendakan kerana ia membabitkan maruah negara.

Hassan berkata, perbuatan melanggar protokol diplomatik oleh kerajaan dan keluarga raja Arab Saudi terhadap Anwar bukan satu isu yang wajar dijadikan bahan persendaan oleh parti politik pembangkang.

“Sebagai seorang rakyat yang patriotik, kita perlu pandai membezakan persaingan politik dalam negeri dengan politik antarabangsa melibatkan Malaysia.

“Tetapi di dalam isu politik antarabangsa kita seharusnya tidak wajar bergaduh. Misalnya dalam isu lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya lagi, Anwar adalah Perdana Menteri kepada 33 juta rakyat Malaysia dan bukan untuk penduduk Tambun atau penyokong gabungan parti politik Kerajaan Perpaduan sahaja.

“Hatta (jika) dia pemimpin politik lawan kita, Anwar tetap Perdana Menteri kita sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah dan punya jati diri.

“Kalau Anwar dimalukan oleh keluarga Feudal Raja Saudi, kita sebagai rakyat Malaysia patut berasa marah terhadap perbuatan Raja Saudi, Raja Salman dan anaknya Putera Mahkota, Mohamad Salman ke atas Perdana Menteri kita.

“Ini soal imej negara bukan soal politik tahap rendah yang tidak kenal maruah bangsa dan Negara,” katanya.

Beliau juga menyiafatkan pihak yang mengambil kesempatan memburuk-burukkan dan memalukan Anwar dari ‘fiasco’ di Arab Saudi perlu berasa malu pada diri sendiri.

“Anda yang mempersendakan Anwar, sebenarnya anda mempersendakan diri anda sendiri. Anda yang Cuba memalukan Anwar, sebenarnya anda memalukan diri anda sendiri.

“Kita mesti kenal sempadan. Dalam isu antarabangsa, kita perlu ingat peribahasa Melayu lama iaitu ‘cubit peha kiri; peha kanan sakit juga’,” katanya.

Kelmarin, Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan lawatan Anwar ke Arab Saudi kerana tiada satu pun laporan yang mengesahkan pertemuan di antara Anwar dan Perdana Menteri negara itu, Putera Mahkota Mohammed Salman.

Justeru, Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Perdana Menteri diminta untuk menjelaskan kegagalan lawatan itu di Dewan Rakyat.

Katanya, ia penting supaya ahli-ahli Parlimen dapat merungkai dan menghuraikan dengan lebih lanjut supaya hubungan rapat dua hala kedua-dua negara akan terus dipertahankan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights