PENGISIAN guru dari dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), universiti awam, swasta dan luar negara tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran.
Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, berkata urusan pengambilan itu dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Melantik iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang dijalankan sepanjang tahun.
“Untuk makluman, bagi tahun 2021 hingga Januari 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru melibatkan sebanyak 148 bidang pengkhususan.
“Pengambilan itu melalui kaedah ‘one-off’ dan kluster mata pelajaran sebagai strategi untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang bertanyakan status pengambilan guru baharu tahun 2022 dan perincian pengambilan guru mengikut opsyen mata pelajaran bagi tahun 2016 hingga tahun 2022.
Menurut Hui Ying, beberapa bidang pengkhususan diberi perhatian antaranya adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah.
Beliau memaklumkan, urusan pengambilan guru berkenaan akan berterusan bagi tahun 2023 dan seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah-sekolah.
“Lanjutan daripada itu, penyediaan unjuran ambilan guru baharu tahun 2023 hingga 2027 bagi bekalan sekolah menengah dan sekolah rendah KPM telah disediakan berdasarkan data pada 31 Disember 2022.
“Data unjuran ambilan guru baharu sekolah KPM secara keseluruhan bagi tahun 2023 hingga 2027 adalah antara 16,886 hingga 20,081 guru. KPM akan sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan,” katanya.
Beliau tutut menjawab soalan tambahan Saifuddin yang bertanyakan sama ada KPM akan meneruskan pendekatan pengambilan secara kluster mata pelajaran yang diperkenalkan bekas Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, sebelum ini.
“Memang kementerian berhasrat meneruskan pendekatan itu, sebab kita memang ada kekosongan yang perlu diisi dengan opsyen mata pelajaran yang diperlukan.
“Ia akan diteruskan dan ditambah baik dengan beberapa langkah lain yang akan diumumkan kelak,” katanya. – Malaysiapost