LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesahkan pembayar cukai yang mencarum dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tidak lagi layak menuntut pelepasan individu hingga RM8,000 mulai Tahun Taksiran 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN susulan pelbagai alasan.
“Kerajaan sebelum ini, memang beri potongan cukai kepada pencarum SSPN sebagai galakan ibu bapa menabung bagi pendidikan anak mereka. Ia disambung beberapa kali hingga 2022.
“Namun, ia dihentikan tahun ini. Kalau simpan (SSPN) tahun ini, tiada potongan cukai pada tahun hadapan.
“Keputusan ini dibuat kerajaan atas dasar dan keadaan bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ditanya kemungkinan pencarum berhenti mencarum susulan perkembangan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyampaikan pandangan orang ramai kepada kerajaan bagi memastikan dasar berkenaan selari dengan keperluan rakyat.
“Kalau mahu lihat semula (pemotongan cukai) dan sebagainya, ia perlu datang daripada rakyat.
“Di peringkat LHDN, kita adalah pihak pelaksana bagi setiap dasar diputuskan kerajaan. Namun, kita juga akan sampaikan pandangan orang ramai supaya setiap dasar selari dengan nadi rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, LHDN bakal memperkenalkan inisiatif baharu, e-invois bagi memudahkan pembayar cukai menyimpan resit perbelanjaan mereka.
Katanya, inisiatif itu yang akan membantu simpanan rekod kewangan pembayar cukai, dijangka dilaksanakan sepenuhnya awal tahun depan.
Menurutnya, inisiatif itu dirangka selepas LHDN mengambil kira kesukaran pembayar cukai menyimpan rekod kewangan masing-masing bagi tempoh tujuh tahun.
“Inisiatif e-invois nanti insya-Allah boleh mengubah perkara ini. Pada dasarnya, ia akan dapat membantu mengurangkan bebanan menyimpan rekod pembayar cukai apabila (e-invois) dilaksanakan sepenuhnya nanti.
“Ini kerana, kebanyakan maklumat sudah berada pada LHDN. Justeru, harap semua pihak dapat menyokong e-invois ini apabila dilaksanakan kelak,” katanya. – Malaysiapost