Menteri, Timbalan Menteri Pendidikan digesa letak jawatan

AHLI Parlimen pembangkang mendesak supaya Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying meletak jawatan susulan kegagalannya menjawab soalan secara lisan yang dikemukakan di Dewan Rakyat.

Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN – Pengkalan Chepa) berkata, tidak pernah berlaku sebelum ini mana-mana menteri atau timbalan yang hadir dalam persidangan gagal menjawab soalan yang dikemukakan.

“Isunya, soalan saya berkaitan Program Rancangan Khas (RMT). Soalan ini Timbalan Speaker jemput untuk Menteri Pendidikan jawab, tetapi menteri tiada dan dijemput timbalan menteri untuk menjawab.

“Sayangnya, timbalan menteri beritahu tiada jawapan dan tidak bersedia serta meminta maaf,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai satu pembaziran kepada kerajaan kerana menggajikan seorang timbalan menteri yang tidak melaksanakan tugasnya.

“Jadi hari ini saya mengusulkan supaya menteri dan timbalan menteri berkenaan khususnya berundur dan meletak jawatan.

“Ini perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Hadir di Parlimen tetapi tidak bersedia menjawab soalan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan sebelum ini, jawapan bagi soalan setiap kementerian sudah disediakan dua minggu sebelum sidang bermula.

Terdahulu, Timbalan Yang Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor memberi amaran kepada Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong yang memaklumkan dirinya tiada jawapan terhadap soalan dibangkitkan Ahmad Marzuk. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights