‘Orang Melayu patut menentang kerajaan pimpinan Anwar’ – Tun M

ORANG Melayu patut menentang kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dakwanya, ia berikutan kerajaan menghalang pihak lain melancarkan program Proklamasi Melayu yang dilihat mengkhianati janji dalam Perlembagaan Negara.

Dr Mahathir berkata, isi kandungan proklamasi menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Perlembagaan Umno.

“Menghalang pelancaran ini bermakna kerajaan Anwar menolak Perlembagaan negara dan Perlembagaan Umno.

“Umno tidak bantah. Umno tidak lagi pegang kepada matlamat penubuhannya. Sebab itu puak lain perlu diadakan untuk melindungi hak orang Melayu dan Bumiputera lain.

“Apabila kerajaan menghalang pihak lain melancarkan proklamasi ini, ia mengkhianat janji dalam Perlembagaan Negara.

“Sebab itu orang Melayu patut tentang kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut meminta Anwar membuktikan tuduhan yang dilemparkan bahawa beliau membolot kekayaan untuk keluarganya.

Menurutnya, dalam usaha untuk menghalang perhimpunan Melayu yang menjemputnya hadir, Anwar mendakwa beliau kini mengeluh Melayu hilang segala-galanya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Dakwanya, Anwar menuduh beliau membolot (harta) untuk keluarga dan anak-anaknya ketika memimpin negara dan hanya bicara soal rakyat selepas hilang kuasa.

“Saya ingin dapat bukti dari Anwar bahawa saya bolot untuk saya, untuk keluarga saya dan anak-anak saya,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, tuduhan yang tidak dibuktikan dengan jelas dan tidak boleh diterima sebagai benar merupakan satu fitnah.

Jelasnya, beliau mengeluh mengenai nasib Melayu kerana selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kaum tersebut menjadi miskin.

“Memang pun orang Melayu menjadi begitu miskin selepas saya tidak lagi jadi Perdana Menteri. Saya berusaha memulihkan keadaan orang Melayu apabila jadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Tetapi Kerajaan PH (Pakatan Harapan) dijatuhkan dan saya pun hilang jawatan. Sebab itu saya mengeluh sekarang,” katanya

Justeru, katanya, beliau menyertai usaha untuk menyedarkan orang Melayu akan masalah mereka dengan pelancaran Proklamasi Melayu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights