KERAJAAN Pahang menyediakan peruntukan RM2.514 juta bagi tujuan agihan melalui inisiatif Bantuan Prihatin Pahang (BPP) untuk murid tahun satu di negeri itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 25,146 murid dari 540 sekolah akan menerima RM100 setiap seorang.
“Pengagihan bermula hari ini sehingga 7 April depan di 540 sekolah rendah seluruh Pahang.
“Tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM42.4 juta, peningkatan RM8 juta berbanding tahun lalu melalui BPP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyampaian BPP di Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, dekat Kuantan, hari ini.
Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak dan Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.
BPP mempunyai empat kluster iaitu kluster pelajar dan anak muda; kluster golongan B40; kluster masyarakat umum dan kluster pemberian aspirasi. – Malaysiapost