LEBIH 4,000 ahli baharu dilaporkan menyertai Pas dalam sebulan sahaja di seluruh Malaysia dengan Kedah merekodkan penyertaan tertinggi.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, berkata keadaan itu menunjukkan Pas semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia.
“Buat pimpinan Pas, ia datang dengan tanggungjawab memberi kefahaman kepada ahli baharu.
“Jelas, kewujudan Pas sejak sebelum merdeka lagi, memainkan peranan penting dalam semak imbang politik tanah air,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan, bahawa Pas komited membawa nilai-nilai murni Islam berpandukan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak.
“Semoga Allah pandu hidup kita ke arah petunjukNya,” katanya yang turut berkongsi jumlah ahli baharu Pas di seluruh Malaysia sejak Disember 2022 hingga bulan ini.
Berdasarkan perkongsian itu, Kedah merekodkan penyertaan tertinggi seramai 935 ahli pada Februari hingga Mac 2023, diikuti Kelantan seramai 894 ahli, manakala Perak pula ketiga tertinggi membabitkan seramai 486 ahli baharu bagi tempoh sama.
Secara keseluruhan jumlah ahli baharu Pas sepanjang Februari hingga Mac 2023 adalah seramai 4,179 orang termasuk keahlian secara daftar terus. – Malaysiapost