Pas tidak akan berhenti main isu kaum, agama – Kit Siang

LIM Kit Siang berpendapat Pas tidak akan berhenti memainkan unsur perkauman dan keagamaan dalam arena politik negara, selagi Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang menggunakan penipuan, fitnah, dan berita palsu untuk kepentingan politik.

Veteran DAP itu berkata, Abdul Hadi adalah Presiden Pas yang paling lama berkhidmat, selama lebih dari 20 tahun, berbanding dengan Presiden-presiden PAS sebelum ini.

Beliau mendakwa, Ahli Parlimen Marang itu mungkin Presiden Pas pertama yang menggunakan penipuan, fitnah, dan berita palsu untuk mengejar kepentingan politiknya.

“Walaupun empat bulan telah berlalu sejak dari tuduhan liar dan tidak berasas dibuat Abdul Hadi, mengatakan DAP kononnya mempromosikan Islamofobia, dia masih gagal memberikan sebarang bukti dan masih enggan untuk menarik semula tuduhan.

“Sekiranya DAP mempromosikan Islamofobia, saya tidak akan bangkit membela Pas di Parlimen pada 8 November 1978 apabila kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) ketika itu mengisytiharkan darurat di Kelantan.

“Abdul Hadi sendiri pernah berkata semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada Mei 2014 yang Pas bekerjasama dengan DAP sebagai tanda penghargaan untuk tindakan DAP yang menyokong apabila kerajaan Kelantan ditumbangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, beliau tidak perlukan ‘token penghargaan’ daripada Abdul Hadi, sebaliknya hanya perlukan beliau bersikap jujur dan berterus terang, bukannya menipu, menabur fitnah, dan menyebar berita palsu untuk kepentingan politik sendiri.

“Abdul Hadi telah membuat tuduhan liar dan tidak berasas selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kononnya DAP mempromosikan Islamofobia. Dia patut tarik semula tuduhan ini dan saya akan memaafkannya,” tegasnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights