Peniaga sorok lauk, nasi dijual kepada kaki ponteng puasa dalam tandas

SEORANG wanita sanggup menyembunyikan lauk dan nasi bungkus yang dipercayai untuk jualan kepada kaki ponteng puasa di rumahnya di Tangok dekat Bachok, semalam.

Lauk ayam yang sudah siap diperap disembunyikan dalam tandas, manakala ayam yang sudah digoreng dan nasi bungkus disorok dalam mesin basuh di dalam tandas sama.

Tindakan peniaga itu dikesan dalam Operasi Patuh Syariah dan Pemantauan Premis Kedai Makan Sepanjang Ramadan 2023 yang dijalankan Pejabat Agama Jajahan Bachok dan Majlis Daerah Bachok, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, operasi bersepadu yang dijalankan antara 10 pagi hingga 12 tengah hari itu berjaya merampas lebih 20 bungkus nasi berlauk ayam bersama teh o ais yang siap dibungkus.

Pegawai Agama Jajahan Bachok Suratemi Mat Yusof berkata, dalam operasi itu, pihaknya memberi amaran kepada seorang wanita yang juga pemilik rumah berusia 40-an.

Katanya, operasi itu dilakukan hasil pemantauan pihaknya dan aduan awam yang mendapati pemilik rumah menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa.

“Hasil operasi menemukan lebih 20 bungkus nasi yang disorok dalam mesin basuh dan ayam yang diperap di dalam tandas.

“Selain itu, kita juga menemukan teh o ais yang disembunyikan dalam bilik tidur. Hasil soal siasat, pemilik rumah mengaku membungkus nasi itu sebelum pembeli menghubunginya untuk mengambil makanan itu.

“Wanita berkenaan memaklumkan dia menjual dari rumah pada Ramadan kepada individu yang tidak berpuasa,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit diberi nasihat supaya tidak menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa dan peniaga berkenaan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.

Beliau berkata, wanita itu juga akan dipanggil untuk diberi kaunseling supaya tidak menjual makanan pada waktu pagi sepanjang Ramadan ini.

“Dalam operasi itu, tiada tangkapan dibuat berikutan mereka (kaki ponteng puasa) sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Kita menasihatkan kepada semua terutama orang Islam supaya tidak makan dan minum di waktu siang di tempat yang terbuka pada bulan ini dan menghormati orang berpuasa,” katanya.

Majlis Daerah Bachok sebelum ini turut mengeluarkan arahan supaya pengusaha restoran, kedai makan dan penjaja Islam memulakan urusan jualan makanan atau minuman bermula jam 3 petang sepanjang Ramadan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights