RANG Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU berkenaan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ia juga dijangka dibentang untuk bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini.
RUU yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini membabitkan enam dasar untuk meminda Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut Azalina, pada 17 Mac lalu, Jemaah Menteri bersetuju dengan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
“Justeru, bacaan kali pertama RUU berkenaan dibuat pada hari ini dan bacaan kedua pula dijangka dibuat pada sesi kali ini juga.
“Satu taklimat berkenaan perkara itu juga akan diadakan pada 28 Mac ini bagi semua Ahli Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan blok pembangkang bersama-sama dengan Senator Dewan Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata, seramai 476 orang banduan hukuman mati yang belum selesai proses rayuan di peringkat mahkamah akan tertakluk kepada RUU berkenaan yang akan berkuat kuasa kelak.
Beliau berkata, dengan pemansuhan hukuman mati mandatori dan pindaan berbangkit susulan pemansuhan tersebut, Kerajaan Perpaduan telah beranjak ke arah pemansuhan hukuman mati bagi enam kesalahan tertentu sebagai mana dalam perundangan di Malaysia.
“Pemansuhan hukuman mati mandatori ini bertujuan menghargai dan menghormati nyawa setiap individu, pada masa yang sama, memastikan keadilan dan kesaksamaan bagi semua pihak termasuk mangsa-mangsa pembunuhan, kes yang melibatkan pengedaran dadah, serta keluarga mangsa-mangsa.
“Oleh itu, dasar-dasar yang dicadangkan melalui RUU ini merupakan satu jalan tengah untuk memastikan keadilan dipelihara bagi semua,” katanya. – Malaysiapost