PEGAWAI Tugas-tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Swee Kuan mendakwa pihaknya tidak menjangkakan soalan ke-16 akan ditanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, ini kerana berdasarkan bilangan maksimum soalan yang boleh dijawab oleh semua kementerian bagi sesi pertanyaan di Dewan Rakyat adalah antara 11 hingga 13 soalan untuk dijawab dalam tempoh 90 minit.
Justeru, katanya, pegawai akan memberi taklimat secara terperinci kepada Menteri atau Timbalan Menteri yang akan menjawab bagi soalan yang muncul pada 15 soalan pertama.
“Pihak kami telah menyediakan jawapan terperinci bagi tiga soalan iaitu soalan ke-4, ke-8 dan ke-11. Timbalan Menteri juga telah menjawab kesemua tiga soalan seperti kelaziman di Dewan yang mulia pagi tadi.
“Tanpa diduga pada hari ini kami telah menerima soalan ke-16 pada jam 11.35 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan tersebut mengulas kegagalan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menyediakan jawapan terhadap soalan dikemukakan bagi pertanyaan jawab lisan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, di Dewan Rakyat hari ini.
Kegagalan Hui Ying menyediakan jawapan itu mendapat teguran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, yang menyifatkan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia memberi gambaran yang tidak baik kepada kerajaan.
Bagaimanapun, Hui Ying kemudian meminta maaf dan berjanji perkara seperti ini tidak berulang lagi.
Sementara itu, Swee Kuan berkata pihaknya akan mengambil langkah yang lebih proaktif untuk mengelak perkara yang sama berlaku lagi.
“Perkara ini merupakan sesuatu di luar kelaziman. Kami memohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya. – Malaysiapost