TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor memberi amaran kepada Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying yang tidak bersedia dengan jawapan ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan persidangan Parlimen, hari ini.
Ramli membuat teguran tersebut ketika soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang bertanyakan berkenaan mekanisme pemantauan makanan Program Rancangan Khas (RMT).
Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong memaklumkan beliau tidak mempunyai jawapan secara lisan bagi soalan berkenaan dan meminta untuk menjawabnya secara bertulis.
Keadaan itu menyebabkan beliau ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ramli : Yang Berhormat menteri, saya rasa soalan ini awal. Ada jawapan atau tidak?
Tanjong : Minta maaf tuan Yang Dipertua, sebab jawapan saya tidak sediakan. Boleh saya berikan secara bertulis?
Susulan itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mencelah dan menyatakan perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana menteri harus bersedia dengan soalan pertanyaan.
Beluran : YB Speaker, ini tidak sepatutnya berlaku dalam dewan. Soalan ini sudah lama dikemukakan dan menteri mesti sediakan jawapan.
Dalam masa sama, Hui Ying sekali lagi meminta maaf terhadap kegagalannya menyediakan jawapan.
Tanjong : Saya minta maaf.
Ramli : Saya faham senario dan ‘predicament’ ahli-ahli parlimen. Sepatutnya Yang Berhormat menteri perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Saya harap pihak kerajaan, ketua majlis ambil maklum perkara ini.
Tanjong : Saya minta maaf, tidak akan berulang lagi.
Ramli : Ia memberi satu senario yang tidak baik pada pihak kerajaan.
Sesi berkenaan kemudiannya bersambung apabila Ramli mengarahkan agenda seterusnya dibaca. – Malaysiapost