SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dijumpai berjalan kaki seorang diri dipercayai ‘lari’ daripada sebuah sekolah berasrama di Gombak, tular di media sosial, malam tadi.
Menerusi perkongsian video seorang pengguna TikTok mendakwa, dia menjumpai kanak-kanak itu berjalan kaki seorang diri di tepi Lebuhraya Sri Gombak, malam tadi, sebelum mendekati kanak-kanak itu.
“Bahayanya Ya Allah lari asrama pukul 10 malam. Jalan kaki kat Highway Gombak. Budak umur 12 tahun. Harap lepas ni cikgu lebih berjaga-jaga takut jadi lagi kes macam ni,” tulisnya di ruang kapsyen.
Menerusi video berkenaan, kanak-kanak itu yang memakai baju-T berwarna hijau mendakwa dia bertindak demikian kerana tidak suka duduk di asrama, selain mengangguk apabila ditanya mengenai dibuli.
Malah, kanak-kanak itu yang dipercayai bersekolah di Taman Melati turut memaklumkan rumahnya berada di Rawang, Selangor.
Menurut pengguna akaun TikTok berkenaan, dia akhirnya memutuskan membawa budak itu ke Balai Polis Gombak kerana tidak tahu lokasi sebenar rumah kanak-kanak tersebut.
Video TikTok yang dimuatnaik malam tadi itu mendapat lebih 21,000 ‘like’ serta 700 komen netizen dengan rata-rata menzahirkan rasa syukur kerana kanak-kanak itu berjumpa ‘orang baik’.
Malah, warga netizen juga meminta kejadian berkenaan dijadikan iktibar kepada ibu bapa supaya tidak memaksa anak ke asrama sekiranya ia bukan dengan kerelaaan mereka.
“Sebab tu jangan paksa anak duduk asrama kalau masih kecil atau kita kena selalu tanya anak ok atau tak duduk asrama. Kalau tak ok sekolah harian pon ok.
“Kenapa tak tolong hantar rumah dia, atau call mak ayah dia. Kesiannya alahai, mesti ada sebab kenapa dia lari asrama.
“‘Confirm’ kes buli, budak kalau dah selesa dengan kawan-kawan, dia tak kan nekad sampai lari punya.
“Nasib baik dijumpai dengan orang awam yang baik hati. Terima kasih buat insan yang membantu,” antara komen netizen. – Malaysiapost