Zahid berjaya dapatkan semula pasport secara kekal

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjaya mendapatkan pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri, di luar negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah, bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong, membenarkan permohonan Ahmad Zahid mendapatkan dokumen perjalanan berkenaan secara kekal selepas mendapati ia mempunyai merit.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membuat permohonan terbabit susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari lalu yang hanya membenarkan pasportnya diserahkan sementara bagi beliau memohon pasport diplomatik, dan kemudian menyerahkan kedua-dua pasport itu ke mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob mewakili pendakwaan yang dinamakan selaku responden, tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Pada 13 Februari lalu, Ahmad Zahid memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

Bagaimanapun, ia dipinda pada prosiding hari ini dengan mengemukakan permohonan baharu.

Menerusi afidavit sokongan dalam permohonan semakan itu, Ahmad Zahid berkata Hakim Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Beliau berkata, keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights