Zahid dapat semula pasport: ‘Mad (gila) dah ni’, tulis KJ

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin seakan mempersoal keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan semula pasport antarabangsa dan pasport diplomatiknya secara kekal, hari ini.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menerusi hantaran Insta Story, menulis perkataan ‘Mad (gila) dah ni’ dipercayai merujuk Madani di tangkap layar artikel berita berkenaan keputusan mahkamah itu.

“Mad (gila) dan ni,” tulis Khairy ringkas di hantaran itu.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berjaya mendapatkan pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri, di luar negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah, bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong, membenarkan permohonan Ahmad Zahid mendapatkan dokumen perjalanan berkenaan secara kekal selepas mendapati ia mempunyai merit.

Beliau membuat permohonan terbabit susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari lalu yang hanya membenarkan pasportnya diserahkan sementara bagi beliau memohon pasport diplomatik, dan kemudian menyerahkan kedua-dua pasport itu ke mahkamah.

Pada 13 Februari lalu, Ahmad Zahid memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

Bagaimanapun, ia dipinda pada prosiding hari ini dengan mengemukakan permohonan baharu.

Dokumen itu sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas Ahmad Zahid didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights