5 lagi lebuh raya laksana sistem pembayaran terbuka

LIMA lagi lebuh raya bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka tol, yang akan dimulakan pada pertengahan September ini.

Lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART dan Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia menjadikan sebanyak 11 lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka itu bagi kemudahan pengguna.

Selain itu, menurutnya, Lebuhraya Sungai Besi juga telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan Proof of Concept (POC) Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang pertama.

“Pelaksanaan POC ini akan dibuat pada penghujung Oktober ini bagi menilai sistem MLFF sebelum ianya dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.

“Kementerian juga sedang mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi yang lain bagi mendapatkan satu lagi lebuh raya bagi pelaksanaan POC MLFF.

“Keputusan lokasi POC kedua ini akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Nanta Linggi menjelaskan, sistem pembayaran terbuka dan MLFF tidak boleh dilaksanakan semalaman dan ia perlu melalui pelbagai peringkat.

“Perkara ini tentunya bukan mudah dan memerlukan perancangan teliti dan penggunaan teknologi yang berpatutan serta rundingan bersama pelbagai pihak sebelum ianya dapat dilaksanakan sepenuhya.

“Saya ingin memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini sekali gus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” katanya.

Sebelum ini, Nanta berkata, kerajaan memulakan sistem pembayaran tol terbuka di lima lebuh raya di seluruh negara terlebih dahulu, bagi memastikan sistem itu dapat berfungsi dengan baik sebelum diperluaskan ke lebuh raya lain.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka itu membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit selewat-lewatnya September ini.

Lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

Selain itu, PLUS turut mengumumkan Lebuhraya Butterworth – Kulim juga akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka yang sama. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights