Anwar puas hati lawatan sehari ke Kemboja

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpuas hati dengan lawatan rasmi sehari beliau ke Kemboja kerana berpeluang membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau serta antarabangsa dengan rakan sejawatannya, Hun Sen.

Perdana Menteri berkata, beliau sangat menghargai jemputan rakan sejawatannya itu, seterusnya memperkukuhkan hubungan diplomatik yang terjalin sejak 66 tahun lalu.

“Dalam mesyuarat dua hala, Hun Sen turut mempelawa Malaysia supaya menggunakan produk buluh tempatan di sini (Kemboja), selain saya berpeluang berbuka puasa dengan 6,000 orang Islam di Kemboja dalam majlis yang dihoskan oleh Hun Sen.

“Saya juga berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan dari Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini,” katanya bercakap kepada media Malaysia di penghujung lawatannya di negeri itu, malam tadi.

Anwar berkata isu ketegangan di Myanmar yang dibangkitkan oleh Hun Sen lebih sesuai dibincang dan dirundingkan di peringkat ASEAN.

Menurutnya, ia berikutan isu di Myanmar adalah politik dalaman negara berkenaan dan ASEAN platform terbaik untuk membincangkannya sebagai satu pasukan.

Sementara di Facebook, Perdana Menteri memaklumkan berkesempatan menyertai majlis iftar khas yang dihoskan oleh Hun Sen bersama-sama golongan ilmuwan dan kira-kira 6,000 masyarakat Islam di Kemboja.

“Dalam ucapan, saya sempat titipkan penghargaan kepada Hun Sen atas kepedulian beliau yang menghargai dan menghormati umat Islam Kemboja dengan penganjuran majlis iftar khas ini.

“Selain delegasi kerajaan Malaysia dan komuniti masyarakat Islam di Kemboja, majlis iftar khas tersebut turut disertai mantan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dalam ruang lingkup bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa,” katanya.

Menurut Anwar, sebanyak 1,500 naskhah terjemahan al-Quran dalam Bahasa Khmer dan Bahasa Inggeris turut disampaikan dari kerajaan Malaysia kepada masyarakat Islam di Kemboja.

“Usai berbuka puasa, saya sempat menziarahi Masjid Al-Serkal dan menunaikan tarawih bersama-sama kira-kira 300 umat Islam di situ selain menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk penambahbaikan masjid. Sampai jumpa lagi Kemboja,” tulisnya.

Anwar tiba Phnom Penh pagi semalam bagi memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan negara itu sejak 1957.

Sebaik tiba, Perdana Menteri dibawa ke Peace Palace di sini iaitu pejabat rasmi Perdana Menteri Kemboja untuk diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diikuti acara lintas hormat diiringi Hun Sen. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights