PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya ke Arab Saudi tanpa janji temu yang ditetapkan untuk bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.
Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata temujanji itu penting kerana jadual di Arab Saudi lazimnya adalah haywire (kelam kabut) lebih-lebih lagi pada minggu pertama, bulan Ramadan.
“Saya sudah lama terlibat mengatur perjalanan ke luar negara termasuk program Perdana Menteri, dan saya tahu kita tidak boleh pergi jika program itu tidak dimuktamadkan.
“Berkenaan dengan budaya di Arab Saudi, dia (deligasi) tidak akan pergi minggu pertama Ramadan. Sebab minggu pertama Ramadan ni memang jadual-jadual ‘haywire’. Tak boleh minit terakhir buat janji temu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, semalam.
Malah, Khairy turut menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘kesilapan besar’, selain bukan sahaja memalukan Perdana Menteri tetapi juga buat Malaysia dan rakyat.
Beliau berkata, Arab Saudi adalah salah satu daripada hubungan diplomatik yang sangat penting bagi negara dan ia bukan hanya berkaitan soal kuota haji.
“Ramai orang kata pergi Arab Saudi nak selesaikan kuota haji dan sebagainya, tapi kalau kita lihat dari segi geopolitik, peranan yang dimainkan Arab Saudi sangat penting, mungkin lebih penting dari Turkiye.
“Lainlah kalau ini adalah lawatan peribadi untuk mengerjakan ibadah umrah. Tetapi ini adalah lawatan rasmi. Siaran akhbar kata ini lawatan rasmi.
“Maksudnya pembayar cukai bayar untuk Perdana Menteri pergi ke sana. Ia bukan lawatan untuk mengerjakan umrah,” katanya.
Anwar dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi selama tiga hari, bermula 22 Mac lalu, hanya disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud, dengan upacara sambutan rasmi membabitkan kawad statik.
Dalam kenyataan akhbar sebelum lawatan itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Salman dan Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam. – Malaysiapost