Bas bawa jemaah umrah langgar jambatan, 20 terbunuh

SEBUAH bas membawa jemaah umrah menuju ke bandar suci Makkah terbakar selepas melanggar jambatan, menyaksikan seramai 20 orang terbunuh dan mencederakan puluhan yang lain.

Kemalangan di wilayah Asir, selatan Arab Saudi itu membayangkan cabaran berterusan yang dihadapi untuk mengangkut jemaah dengan selamat ke Makkah dan Madinah iaitu dua kota paling suci Islam.

Nahas berlaku pada minggu pertama bulan Ramadan, waktu sibuk untuk ziarah umrah dan hanya beberapa bulan sebelum berjuta-juta umat Islam menunaikan ibadah haji.

“Menurut maklumat awal yang kami terima, jumlah kematian dalam kemalangan ini mencecah 20 orang, manakala angka kecederaan kira-kira 29 orang,” lapor media kerajaan, Al-Ekhbariya.

Menurut laporan itu, mangsa terbabit mempunyai kewarganegaraan berbeza namun tidak memperincikan dan identiti mereka.

Laporan itu memaklumkan kemalangan berpunca bas mengalami masalah tanpa menyatakan secara spesifik.

Difahamkan, kemalangan berpunca masalah brek sehingga menyebabkan bas itu melanggar jambatan, kemudian terbalik dan terbakar.

Berdasarkan rakaman disiarkan saluran televisyen Al-Ekhbariya menunjukkan seorang wartawan berdiri di hadapan bas yang hangus.

Tugas mengangkut jemaah di sekitar tapak suci di Arab Saudi dikategorikan tugas berbahaya, terutamanya semasa haji apabila keadaan jalan raya kelihatan ‘huru-hara’ dengan bas sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak berkesudahan.

Pernah berlaku kemalangan membabitkan bas pada Oktober 2019 sehingga meragut kira-kira 35 warga asing dan empat lagi cedera.

Ia selepas bas itu bertembung dengan sebuah lagi kenderaan berat berhampiran Madinah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights