DAP lapor polis, dakwa Wan Fayhsal buat laporan palsu

DAP semalam, membuat satu laporan polis terhadap Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa membuat laporan palsu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Howard Lee Chuan How, mendakwa laporan polis oleh Wan Ahmad Fayhsal pada Jumaat lalu itu adalah tuduhan palsu dengan niat mengelirukan pihak berkuasa.

“Tuduhan dilontarkan kepada Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bagan (Guan Eng) berbohong tentang pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary adalah satu tuduhan palsu, liar dan pembohongan terancang dengan niat untuk mengelirukan pihak berkuasa.

“Justeru, laporan polis dibuat oleh Ketua Armada Bersatu pada 24 Mac lalu itu terang-terangan laporan palsu dan berhasrat mengalih perhatian orang awam daripada isu sebenar,” katanya seperti dipetik BH.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin; Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.

Howard Lee yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, berkata Wan Ahmad Fahysal juga perlu memahami bahawa apa juga kenyataan atau hujahan dibentangkan di Parlimen tidak boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Sebagai Ahli Parlimen, terlindung daripada sebarang sabitan kesalahan dan keistimewaan sebagai seorang Ahli Parlimen atau wakil rakyat adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya tindakan Wan Ahmad Fahysal membuat satu laporan polis terhadap kenyataan yang disebut oleh Perdana Menteri ketika dalam Parlimen, adalah keterlaluan.

“Ia sebenarnya mencabuli hak dan keistimewaan seorang wakil rakyat dan ia juga menghina institusi Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

“Maka laporan polis ini berasaskan dua perkara iaitu Ahli Parlimen Machang (Wan Ahmad Fasyhal) membuat satu laporan palsu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana ia adalah satu kesalahan jenayah.

“Kedua, kita tidak boleh benarkan ahli Parlimen untuk mencabuli hak keistimewaan dan kekebalan ahli Parlimen lain untuk bersuara atau terlindung daripada sebarang sabitan salah atas hujah-hujah disampaikan di dalam Parlimen,” katanya.

Jumaat lalu, Wan Ahmad Fayhsal membuat satu laporan polis menuntut siasatan dilakukan ke atas Anwar dan Guan Eng.

Katanya, laporan polis berhubung fitnah Guan Eng ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan isu pelepasan cukai Yayasan Albukhary. – Malaysiapost

Kredit foto: BH

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights