Rais kekal Ketua Umno Bahagian Tangga Batu

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan keabsahan Datuk Rais Yasin sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu selepas memenangi jawatan itu pada pemilihan 18 Mac lalu.

Ia sekaligus menafikan laporan portal berita yang memetik kenyataan surat tular mendakwa kemenangan Rais sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu terbatal.

“Saya ingin mengesahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (Tan Sri Shahrir Samad) telah memaklumkan tidak ada surat pembatalan (kemenangan Rais).

“Jadi, Rais diabsahkan sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu,” katanya selepas menunaikan solat tarawih di Masjid Jamek Ar-Rahman Kampung Pulai, malam tadi.

Ditanya sama ada surat yang tular itu palsu, beliau tidak dapat memberi kepastian.

“Apa yang penting disahkan (keabsahan Rais sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu),” katanya.

Terdahulu, ada laporan menyebut kemenangan Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti itu 18 Mac lalu, dibatalkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan Umno Malaysia 2023.

Surat berkenaan memaklumkan berlaku ketidakaturan perjalanan mesyuarat pada proses pemilihan Umno bahagian itu yang berlangsung di sebuah hotel.

Surat itu turut memaklumkan, selepas penelitian dibuat terhadap pemilihan berkenaan, Jawatankuasa Bantahan Pemilihan Umno Malaysia 2023 membuat keputusan dan ketetapan bahawa pemilihan bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu adalah tidak sah.

Sehubungan itu, Umno bahagian Tangga Batu didakwa perlu membuat pemilihan semula bagi jawatan Ketua Umno Bahagian sahaja.

Pada pemilihan itu, Rais menewaskan penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan majoriti empat undi selepas memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali dengan 278 undi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights