BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik balik tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya.
Ia susulan ucapan Perdana Menteri itu ketika Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang berlangsung, baru-baru ini.
Dr Mahathir berkata, notis tuntutan berkenaan sudah diserahkan menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, semalam.
Katanya, beliau menuntut Anwar menjelaskan tentang tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadapnya pada kongres itu.
Menurutnya, walaupun Anwar tidak menyebut namanya tetapi berdasarkan laporan akhbar, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.
“Anwar menuduh saya ada berbilion ringgit, agih kepada keluarga, anak, saya adalah scoundrel dan ini memberi gambaran buruk kepada diri saya.
“Ini adalah fitnah melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya dapat berbilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara serta tidak bayar cukai.
“Banyak tuduhan dibuat dalam ucapan ini, walaupun saya dulu, biasa dengar dia kata lebih kurang macam ini, tapi waktu itu dia bukan (Perdana Menteri), sekarang dia Perdana Menteri dan Perdana Menteri mesti bertanggungjawab, tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, sebagai Perdana Menteri, Anwar tidak sepatutnya membuat tuduhan sedemikian dan ia merupakan satu perkara yang amat serius.
Katanya, jika Anwar tidak menarik balik tuduhan dan membuat permohonan maaf sebagaimana yang dikehendaki, beliau boleh mengambil apa-apa sahaja tindakan undang-undang yang dibenarkan mengikut Perlembagaan. – Malaysiapost