USAHA pembangkang membahaskan usul tergempar berhubung lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi di Dewan Rakyat, tidak menjadi kenyataan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menolak usul yang dibawa Ahli Parlimen Machang daripada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Ahmad Fayhsal turut cuba memasukkan isu berkenaan dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pagi tadi, namun menemui kegagalan.
Susulan itu, beliau membuat bantahan dan meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor memberikan petua selepas kedua-dua usaha itu gagal.
“Saya telah menerima jawatan balas daripada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, usul saya ditolak berkenaan penjelasan lawatan rasmi PM ke Arab Saudi. Pagi tadi, soalan Perdana Menteri juga ditolak.
“Saya hendak minta petua daripada Yang Dipertua apakah saluran lain yang boleh saya bawa ke Dewan Rakyat untuk Kementerian Luar Negeri jelaskan kepada kami apa yang berlaku di Arab Saudi minggu lalu,” katanya.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN- Kota Bharu) kemudiannya bangun mencelah dan meminta supaya usul berkenaan diterima dan dibahas.
“Isu yang diusulkan oleh Yang Berhormat Machang yang telah ditolak merupakan isu berkepentingan awam yang mempunyai kepentingan awam.
“Oleh itu soalan saya, adakah kerajaan khususnya menteri berkaitan lawatan Yang Berhormat Perdana Menteri kita ke Arab Saudi.
“Adakah kerajaan bercadang untuk memohon perintah tetap 14 (1I) bagi menteri memberikan penjelasan kepada Dewan Rakyat dan selurah rakyat Malaysia hakikat sebenar yang berlaku dalam hal ini,” katanya.
Ramli bagaimanapun tidak membenarkan usul berkenaan dengan alasan keputusan menerima usul terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertua Dewan.
Beliau meminta Ketua Armada Bersatu itu mengemukakan semula usul berkenaan untuk dipertimbangkan. – Malaysiapost