Wujudkan badan bebas siasat aduan, salah laku agensi penguatkuasaan – PM

JABATAN Peguam Negara (AGC) diarah mengkaji semula cadangan menubuhkan badan bebas bagi menyiasat aduan dan tuduhan terhadap semua agensi penguatkuasaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu penting kerana jika ada sebarang tuduhan, ada badan bebas untuk menyiasatnya.

“Saya sudah minta AGC kaji semua cadangan awal supaya ada mekanisme untuk semua badan penguatkuasaan, kalau ada pertuduhan khas terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Imigresen, Kastam atau polis maka ada badan bebas.

“Sudah ada arahan supaya badan penguat kuasa ini tidak menyiasat sendiri tetapi ada satu badan lain yang bebas menyiasat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang meminta sama ada akan wujud satu badan bebas untuk menyiasat pegawai tertinggi seperti SPRM sekiranya ada sebarang pertuduhan atau aduan.

Anwar berkata, penubuhan badan bebas terbabit juga dilihat sebagai langkah baik bagi mengelak timbul sebarang permasalahan seperti timbul ketidakpuasan hati berikutan pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebelum ini.

“Cuma saya nak tekankan di sini, apabila timbul isu IPCMC, yang dipertikaikan (adalah penubuhan) IPCMC, mengapa dituju khusus kepada mereka (polis) sedangkan permasalahan itu harus membabitkan semua agensi penguatkuasaan.

“Jadi pada pendapat saya, ini adalah cadangan yang lebih baik iaitu satu badan bebas yang boleh mengambil tindakan dan boleh menyiasat serta mengambil tindakan terhadap semua dakwaan membabitkan badan penguatkuasaan lain,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights