Ahli Parlimen Besut dihalau keluar dewan, diberi ‘cuti’ 3 hari

AHLI Parlimen Besut daripada Perikatan Nasional (PN) Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh diarah keluar dari Dewan Rakyat dan digantung tiga hari bermula hari ini.

Tindakan diambil ke atas Ahli Parlimen PAS itu selepas beliau ingkar arahan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ramli Md Nor, yang tiga kali mengarahkan beliau duduk, hari ini.

Sebelum itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan mengapa kerajaan menyediakan dua RUU mempunyai tajuk bahasa Inggeris, yang mana Mohamad Che Zulkifly turut mencelah.

Sementara itu, Mohamad Che Zulkifly berkata, ada hikmah beliau ‘dihalau’ dari Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya, sekurang-kurangnya beliau boleh memberitahu pembuat undang-undang supaya RUU dibuat dalam bahasa Melayu.

“Tidak tahu apa agendanya. Kenapa tidak boleh ditarik balik dan dibentang semula…dibahaskan.

“Saya rasa tak ada masalah besar dalam (perkara) ini. Ini mungkin masalah teknikal asalnya tetapi itulah nak jelaskan tujuan saya bantah kejap tadi kerana (yang) dalam versi bahasa Melayu tak sepenuhnya dalam bahasa Melayu,” katanya.

Che Mohamad Zulkifly menegaskan, Rang Undang-undang (RUU) yang diperkenalkan kerajaan sepatutnya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, bukan sebahagian dalam bahasa Inggeris.

Katanya, bukan semua rakyat memahami bahasa Inggeris dan ini boleh menyebabkan kekeliruan serta tidak faham hak daripada sudut undang-undang.

“(Saya) bantah (RUU) dibuat dalam bahasa Inggeris kerana undang-undang digunakan untuk semua rakyat. Kalau rakyat baca dalam bahasa Inggeris dan tidak faham, mereka tidak tahu hak mereka di sudut undang-undang.

“Bukan semua rakyat faham bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media di Parlimen. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights