Ahli Parlimen perlu jalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun

SETIAP ahli Dewan Rakyat perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali, bermula pada sesi persidangan Parlimen pada Mei depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Jawatankuasa telah mencadangkan agar pemeriksaan kesihatan diadakan sekali setahun, ketika persidangan Dewan Rakyat berjalan di Bangunan Parlimen. Saya sendiri akan tampil dengan rakan-rakan jemaah menteri untuk menawarkan diri bagi pemeriksaan kesihatan kami dilakukan.

“Hal ini setelah mengambil kira fakta bahawa seramai sembilan wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang sedang berkhidmat, meninggal dunia bagi tempoh 2018 hingga 2020, disebabkan penyakit tidak berjangkit seperti komplikasi buah pinggang dan serangan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di bangunan Parlimen, yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, ahli Dewan Negara juga mungkin dipertimbangkan untuk berbuat demikian.

“Kita bukan mendahului hukum Allah SWT dalam perkara ini tapi sebagaimana saya maklumkan sebelum itu, mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights