Anwar mulakan lawatan rasmi ke China petang ini

LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China selama empat hari disifatkan sebagai salah satu lawatan yang besar dan istimewa bagi menunjukkan komitmen kuat dan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, China menjadi negara pertama di Asia Timur yang dilawati oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan sejak mentadbir Kerajaan Perpaduan.

“Perdana Menteri juga merupakan salah seorang pemimpin terawal melawati Beijing selepas pelantikan semula Presiden China, Xi Jinping untuk penggal ketiga beberapa minggu yang lalu dan pelantikan Li Qiang sebagai Perdana Menteri China yang baharu.

“Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan China. Pada masa yang sama, lawatan rasmi Perdana Menteri adalah bagi menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini,” katanya.

Lawatan rasmi itu turut diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Zambry berkata, Perdana Menteri dijangka tiba di Hainan pada jam 5 petang hari ini bagi menghadiri Forum Tahunan Boao untuk Asia (BFA) dan Beijing pada jam 4.30 petang ini.

Ahli Parlimen Tambun itu berdepan jadual padat dalam lawatan tersebut, dengan program pertama di Beijing adalah majlis berbuka puasa yang akan dihadiri lebih 200 rakyat Malaysia di China dan delegasi Malaysia.

Pada hari kedua, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Universiti Tsinghua, yang merupakan salah satu universiti tersohor di republik itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights