Bagaimana PM ada maklumat ‘convincing’, sindir Ahli Parlimen PAS

SEORANG Ahli Parlimen PAS menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa seolah-olah telah ada maklumat meyakinkan berhubung dakwaan kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibiayai syarikat judi.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata ia berbeza berbanding jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini.

“Terima kasih Menteri atas jawapan kepada saya hari ini. Saya faham, bukan mudah nak cari bukti, apatah lagi kalau baru sampai peringkat mencari maklumat untuk dijadikan asas siasatan.

“Bezanya, semasa PMX buat sidang media tempoh hari nampak benar-benar ada maklumat ‘convincing’. InsyaAllah sesi sidang akan datang saya tanya pula soalan ini ya,” tulis Ketua Dewan Pemuda PAS itu di Facebooknya.

Terdahulu di Dewan Rakyat, Azalina berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih mengkaji dan meneliti dakwaan kempen PN semasa PRU15 lalu telah dibiayai oleh syarikat judi.

Azalina berkata, maklumat tersebut diperlukan untuk dibangunkan sebagai asas penyiasatan SPRM.

Dalam satu sidang media 5 Disember lalu, Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN dibiayai dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Anwar dilaporkan berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights