ISTERI kepada pelakon Afiq Muiz, Pachara Apin membuat permohonan tuntutan fasakh terhadap suaminya tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari, pagi tadi.
Ketika ditemu media, Pachara atau nama Islamnya, Nur Aaira Mahdeya, 32, memberitahu Afiq tahu mengenai tuntutan fasakh pada hari ini, namun enggan memberi kerjasama.
“Afiq tahu (tuntutan fasakh), tetapi tidak mahu beri kerjasama,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas dakwaan pernah dikasari suami seperti didedahkan dalam laman Facebook dan TikTok tahun lalu, Pachara mempertahankan kenyataannya itu.
“Sebelum ini, dia (Afiq) ada buat laporan polis mengatakan saya memfitnah berhubung isu pukul, tetapi saya tak fitnah.
“Mengenai bukti, saya rasa semua orang sudah nampak bukti itu. Jadi, saya tak perlu nak banyak cakap hari ini. Lagipun, sebelum ini saya sudah banyak bercakap. Jadi, saya tak nak terlalu banyak cakap.
“Kita tunggulah kes perbicaraan terakhir pada 6 April depan,” katanya.
Pada 14 Mei 2021, Pachara membuat laporan polis mendakwa Afiq menampar bahagian mukanya sebanyak lima kali, selain menendang perut dan menumbuk dagu sebanyak dua kali.
Wanita itu turut memuat naik beberapa foto menunjukkan kecederaan dialami, selain beberapa bukti perbualan dipercayai dengan ahli keluarganya.
Pada Disember 2022, Afiq membuat laporan polis di Balai Polis Dengkil, Selangor selepas dituduh mencederakan Pachara.
Afiq dan Pachara mendirikan rumah tangga pada 2019, namun pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata. – Malaysiapost
Kredit foto: Berita Harian