LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat-syarikat konsesi akan bekerjasama melancarkan sistem pembayaran tol secara terbuka (open payment system).
LLM berkata, ia akan dilaksanakan dengan mengambil kira keseluruhan persekitaran sistem tol sedia ada.
“Ia juga adalah inisiatif awal bagi peralihan ke arah sistem ;multi lane fast flow’ (MLFF) yang giat diusahakan ketika ini.
“Ini adalah merupakan langkah yang tepat dalam usaha kerajaan memberi pilihan serta kemudahan kepada pengguna bagi tujuan pembayaran tol di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut LLM, pihaknya sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada pengguna lebuh raya kerana komitmen dan sokongan berterusan pengguna amat diharapkan untuk penambahbaikan pengoperasian lebuh raya bertol.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan 11 lebuh raya akan menyertai pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka.
Katanya, sistem itu akan membolehkan pengguna menggunakan kad debit atau kredit untuk membayar tol yang akan dilaksanakan selewat-lewatnya September ini. – Malaysiapost