Pertukaran Ketua Menteri Melaka hangat kembali

SPEKULASI mengenai pertukaran Ketua Melaka sekali lagi hangat diperkatakan selepas tular maklumat mendakwa bahawa Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri yang baharu bakal berlangsung Jumaat ini.

Berdasarkan maklumat tular itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam pada jam 3 petang.

Maklumat yang tular melalui aplikasi WhatsApp itu mendakwa istiadat berkenaan akan diadakan di Pejabat Yang di-Pertua Negeri.

Media dilaporkan cuba mendapatkan komen daripada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), namun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu enggan bertemu media.

Sementara itu, Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian Pembangunan Koperasi, tidak mahu menggulasnya sehingga mendapat maklumat lanjut.

Terdahulu tular di aplikasi WhatsApp mengenai ucapan terima kasih untuk semua jasa jasa yang telah diberikan untuk rakyat Negeri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Selain itu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lalu turut dilaporkan memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Timbalan Perdana Menteri itu turut mengesahkan kerajaan ketika ini menuju kepada usaha pembentukan itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights