STATISTIK Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati seorang daripada lima rakyat Malaysia menghidapi diabetes, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata tiga daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai kolesterol tinggi dalam badan dan seorang daripada dua rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan obes yang akhirnya meningkatkan faktor risiko kepada penyakit kronik.
“Tambahan itu, sebanyak 73 peratus kematian adalah disebabkan oleh penyakit pembudayaan hidup tidak sihat (NCD),” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid menambah, selain itu kebarangkalian kematian pramatang rakyat Malaysia akibat Penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah sebanyak 18 peratus iaitu lebih tinggi daripada negara Thailand (14 peratud), Singapura (9 peratus), mengikut kajian WHO.
Justeri itu, katanya, Jawatankuasa Kabinet ANMS bersetuju mempergiat lagi kesedaran berkaitan kesihatan dan memperluas saringan kesihatan dalam kalangan rakyat negara ini.
“Diharapkan dengan langkah-langkah dan kerjasama berterusan daripada semua Kementerian terlibat dapat memangkin pembudayaan hidup sihat dan wujudkan persekitaran yang lebih lestari,” katanya.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). – Malaysiapost