PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan Sulaiman ketika bertemu di pejabatnya, di Parlimen.
“Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menerima surat perletakan jawatan ketua Melaka.
“Saya akan menghadap TYT (tuan yang terutama) Melaka, Tun Dr Ali Rustam untuk memoersembahkan nama calon yang bersesuaian bagi menggantikan ketua menteri Melaka yang baru.
“(dan) saya mengharapkan kebijaksanaan TYT Tun menerima watikah yang saya akan kemukakan dan majlis angkat sumpah mengikut kesesuaian tarikh (TYT) Tun,” katanya dalam sidang media di Masjid Kampung Lebu, Bentong, hari ini.
Terdahulu dia bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menghadiri majlis santunan kasih Ramadan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Pahang di perkarangan masjid itu.
Mengulas mengenai senarai calon akan diserahkan kepada Tun Dr Ali pula, Ahmad Zahid berkata, senarai itu hanya akan diserahkan kepada Tun Dr Ali sahaja.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai khabar angin berkaitan nama individu tertentu yang disebut bakal mengisi kekosongan jawatan tersebut, Ahmad Zahid enggan mengesahkan atau menafikan perkara terbabit.
Sejak Isnin lalu, nama Pengerusi Umno Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kembali disebut bakal dilantik ketua menteri baharu.
Desas desus mengenai pertukaran pemimpin negeri itu mula hangat beberapa bulan selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021.
Ahmad Zahid pada 27 Mac lalu mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan Melaka akan berubah susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri itu tidak lama lagi.
Katanya, meskipun Melaka sudah melalui proses PRN lebih awal, negeri itu masih belum lagi membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dilaksanakan di peringkat Persekutuan. – Malaysiapost