Afiq Muiz ‘londeh’ perangai sebenar isteri

BERANG dengan fitnah dilemparkan terhadapnya, pelakon Afiq Muiz membuat pendedahan dengan ‘melondehkan’ perangai sebenar isterinya, Pachara Apin.

Afiq atau nama sebenarnya, Muhammad Afiq Muiz Azman Shah mendakwa isterinya pernah curang, mabuk dan bukan wanita yang baik.

Pendedahan itu dibuat ketika membalas semula komen ditinggalkan netizen dalam hantaran dimuat naik dalam Instagram (IG) yang memaparkan fotonya sedang menunggang kuda.

“Isteri kalau baik takpe. Ini macam iblis balik tiga pagi, mabuk, bau arak, keluar dengan jantan. Fitnah aku pula dayus,” tulisnya.

Mengulas kecaman dibuat pengguna IG berhubung dakwaan mengasari isterinya, Afid menafikan tuduhan itu.

Menjawab saranan dibuat netizen supaya melepaskan isterinya secara baik dan bukannya digantung tidak bertali selama dua tahun seperti didakwa, Afiq mengakui, keputusan itu agak sukar untuk dilakukan.

“Bukan mudah buat keputusan dalam keadaan diduakan (dicurangi). Bukan mudah untuk hadap muka orang yang melukakan hati,” jawabnya.

Afiq bagaimanapun memberitahu akan pergi ke mahkamah untuk kes perceraian.

Kecewa segala fitnah yang ditabur, Afiq memberitahu, dia kini sudah tawar hati dengan wanita asal Ranau, Sabah itu.

Semalam, Pachara atau nama Islamnya Nur Aaira Mahadeya, 32, memfailkan tuntutan cerai secara fasakh ke atas suaminya selepas digantung tak bertali selama dua tahun oleh Afiq.

Bagaimanapun, pelakon drama Puteri Yang Ditukar itu tidak memberikan kerjasama apabila gagal hadir ke mahkamah sejak Pachara memfailkan tuntutan cerai secara baik pada 26 Ogos tahun lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 April ini bagi prosiding seterusnya.

Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights