Angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13 esok

ISTIADAT Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka baharu akan diadakan, esok

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari yang mengesahkan perkara itu, berkata Istiadat akan berlangsung di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri pada jam 3 petang.

Beliau berkata, berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara,7 Perlembagaan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

“Yang di-Pertua Negeri Melaka telah pun menerima surat peletakan jawatan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun sehingga kini tidak didedahkan siapa Adun yang bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Baharu.

Sulaiman yang juga Adun Lendu dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12 pada Mac 2020 menggantikan Adly Zahari yang tidak mendapat sokongan majoriti Adun sebagai Ketua Menteri pada ketika itu.

Isu pertukaran pemimpin negeri Melaka mula hangat beberapa bulan selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN negeri itu yang diadakan pada 20 November 2021.

Nama Pengerusi Umno Melaka yang juga Adun Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kembali disebut bakal dilantik Ketua Menteri baharu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights