Gajikan PATI, bot nelayan tempatan ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 32.7 batu nautika Barat Laut Muka Head, jam 12.10 tengah hari semalam yang dikendalikan warga Myanmar.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan tempatan kelas C itu dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Tanjung.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan berkenaan berpangkalan di Pantai Remis, Perak dan dikendalikan lima warga Myanmar termasuk tekong berusia dalam lingkungan 26 hingga 47 tahun.

Beliau berkata, kesemua warga Myanmar itu juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 500 kilogram (kg) hasil laut dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abd Razak berkata, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja di bot mereka walaupun tangkapan dan amaran diberikan sebelum ini.

“Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights