JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor diminta menyelesaikan segera beberapa isu yang menyebabkan kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perkara itu disampaikan pihaknya, hari ini kepada Pengarah JIM Negeri Johor, Baharuddin Tahir dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Abu Bakar.

Beliau berkata, ia susulan lawatan mengejutnya ke CIQ BSI semalam dan pihaknya meminta jasa baik kedua-dua jabatan berkenaan memastikan ia dilaksanakan segera.
Beliau berkata, perkara berkenaan adalah memastikan pelekat MBike boleh didapati di CIQ BSI bermula jam 5 petang hari ini dan di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) mulai esok.
“Penggabungan kaunter kereta di zon A, B, C, dan D akan diselesaikan selewat-lewatnya bulan Julai tahun ini.
“Projek penambahan 50 lorong baru laluan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) perlu disegerakan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, selain itu pertukaran syif antara pegawai-pegawai JIM di kaunter juga perlu efisyen, supaya isu kesesakan di kaunter dapat dikurangkan dan semua kaunter perlu dibuka serta isu penyelenggaraan perlu diselesaikan oleh pihak JKR.
“Saya mendengar dan memahami kekangan yang dialami oleh JIM Negeri Johor, namun saya percaya dengan kerjasama strategik dan berterusan antara semua pihak, isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan pihak Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki lagi sistem sedia ada,” katanya. – Malaysiapost