JIM tahan warga Bangladesh dalang sindiket judi

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) membongkar sindiket perjudian dalam talian didalangi warga asing yang dipercayai meraih keuntungan sehingga RM1.5 juta setahun dalam beberapa serbuan sekitar Lembah Klang pada kelmarin dan semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh, berkata dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, JIM itu seramai 15 warga asing termasuk tiga wanita dan seorang lelaki tempatan berjaya ditahan.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan hasil maklumat dan risikan selama sebulan terhadap sindiket yang dipercayai aktif melakukan kegiatan itu kira-kira dua tahun lalu dengan berselindung di sebalik perniagaan pusat snuker.

“Dalam serbuan pertama jam 10 malam kelmarin, tiga lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Bangladesh dan dua wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 40 tahun ditahan.

“Mereja tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk bekerja sebagai operator mesin perjudian, manakala seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun turut ditahan kerana dipercayai bekerja sebagai penyelia dan penjaga pusat tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, susulan serbuan pertama itu pihaknya menjalankan serbuan kedua jam 10.30 malam tadi di tiga lokasi sekitar Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan dalang utama sindiket itu iaitu seorang lelaki warga Bangladesh.

“Lelaki berusia 40 tahun yang memiliki pas lawatan sosial itu adalah suami kepada wanita tempatan yang turut memiliki syarikat perkhidmatan mencuci yang beroperasi hampir dua tahun.

“Enam lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 40 tahun yang bekerja sebagai operator judi turut ditahan di premis berkenaan,” katanya.

Ruslin berkata, secara keseluruhan 20 set komputer, 26 komputer riba, 32 pasport Bangladesh, dua pasport Pakistan, masing-masing satu pasport Indonesia, Myanmar dan India serta wang tunai berjumlah RM114,450 dirampas.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menetapkan setiap pelanggan yang mahu memasuki bilik rahsia diubah suai berkenaan mesti mempunyai kod rahsia ditetapkan oleh sindiket.

“Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, kami percaya sindiket itu mampu meraih keuntungan sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta setahun.

“Semakan dilakukan mendapati pasport semua warga asing yang ditahan sudah tamat tempoh dan mereka akan ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Lelaki tempatan yang ditahan pula direman selama tiga hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi di seluruh negara bagi mengesan saki baki sindiket berkenaan berdasarkan penemuan pasport individu warga asing dalam serbuan itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights