Kelulusan dewan majlis buka puasa anak rantau Kedah di MAEPS ditarik balik

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelulusan dewan bagi penganjuran ‘Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Kedah di Perantauan’ di MAEPS Serdang, Selangor pada 9 April ini, telah ditarik balik.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu menerusi Facebooknya, iaitu sehari selepas beliau didakwa dihalang menghadiri semua program anjuran Kerajaan Pusat, semalam.

“Kelulusan Dewan A, MAEPS, Serdang di bawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) pula ditarik balik.

“Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun, malah dewan tersebut Kerajaan Negeri Kedah akan bayar sewa. Awat sampai jadi lagu tu? Kedah ini kan menghasilkan 43 peratus beras untuk negara?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan, majlis berbuka puasa itu akan diteruskan seperti dirancang dan akan memaklumkan lokasi baharu dalam tempoh terdekat.

“Tak mengapa, tak gaduh (usah) kalut-kalut, kelam-kabut. Program akan diteruskan seperti dirancang. Lokasi terkini akan dimaklumkan segera, di Kuala Lumpur jugalah. Hangpa mai bagi ramai,” katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa beliau dihalang daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA’23 pada 23 hingga 27 Mei ini.

“Keputusan terbaru Kabinet Perdana Menteri Ke-10 adalah melarang Menteri Besar Kedah daripada apa jua program kerajaan persekutuan termasuk LIMA di Langkawi.

“Apa nak buat. If you panaih, please don’t koyak,” tulisnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights