KERAJAAN Johor akan membantu ibu bapa kepada empat beradik yang meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar, malam tadi.
Bantuan itu termasuk menanggung kos pengurusan dan pengebumian jenazah empat beradik berkenaan, selain bantuan tunai dan keperluan asas seperti pakaian tilam dan sebagainya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerajaan negeri juga akan menyediakan kemudahan rumah sewa sehingga ibu bapa berkenaan mampu berdikari.
Menurutnya, sebuah inap desa sudah disediakan buat suami isteri itu, sebagai penginapan sementara.
“Mata si ayah tak berhenti basah..Sedih si ibu tak dapat ditahan..Besar ujian ini bila kehilangan empat orang anak dalam satu malam.. namun yakinlah.. besar lagi hikmah dan pertolongan yang Allah janjikan untuk mereka.
“Saya hadir bersama Khairin Nisa Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor), dan Pegawai Daerah Muar.
“Kita hadir menyatakan simpati dan rasa kebersamaan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, selepas menziarah pasangan terbabit di Jabatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, hari ini.

Menurutnya, dalam pertemuan itu turut disampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Johor berjumlah RM3,000 dan sumbangan Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM2,000.
“Kami sama-sama menyedekahkan tahlil ringkas dan doa kepada roh keempat-empat anak syurga ini. Takziah kita ucapkan.. Alfatihah,” katanya.
Terdahulu dalam siaran langsung di Facebooknya, Mohd Fared mengalu-alukan sumbangan masyarakat terhadap suami isteri itu bagi meringankan beban yang ditanggung pasangan terbabit.

Menurutnya, walaupun bapa kanak-kanak terbabit adalah warga Myanmar dan ibunya warga tempatan, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dan masyarakat setempat membantu.
Dalam kejadian jam malam tadi, empat beradik berusia tiga, empat, enam dan lapan tahun maut selepas terperangkap dalam rumah yang terbakar di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor. – Malaysiapost