KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan sewaan dewan bagi penganjuran ‘Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Kedah di Perantauan’ di MAEPS Serdang, Selangor pada 9 April ini, telah ditarik balik.
Menterinya, Datuk Mohamad Sabu berkata bagaimana Menteri Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan demikian sedang kelulusan belum diberi.
“Pelik juga saya bila MB Kedah kata – kelulusan sewaan dewan telah ditarik balik oleh KPKM sedangkan pengurusan dewan MAEPS belum keluarkan apa-apa surat setuju terima. Sebutharga pun belum keluar.
“Lagi satu – macam mana MB boleh sebarkan dulu poster program sebelum lokasi telah disahkan sudah dapat? Biasanya dah pasti baru kongsi.
“Untuk makluman YAB, program Anak Terengganu di MAEPS tiada apa-apa masalah dan akan berlangsung seperti dijadualkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu hari ini Muhammad Sanusi mendakwa kelulusan dewan bagi penganjuran majlis berbuka puasa itu telah ditarik balik.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu sehari selepas beliau mendakwa dihalang menghadiri semua program anjuran Kerajaan Pusat, semalam.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan, majlis berbuka puasa itu akan diteruskan seperti dirancang dan akan memaklumkan lokasi baharu dalam tempoh terdekat.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, oleh kerana Muhammad Sanusi telah menyatakan program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain, maka pihaknya beranggapan sewaan dewan tersebut telah terbatal sendiri.
“Oleh kerana YAB dah kata program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain – kami kira tak jadilah noo,” tulis Mohamad. – Malaysiapost