PENJARA di seluruh negara kini semakin sesak apabila jumlah banduan melebihi daripada kapasiti sepatutnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini seramai 78,236 banduan yang sedang menjalani hukuman dan ditahan di seluruh institusi penjara.
Menurutnya, kapasiti sepatutnya adalah 65,762 orang sahaja dan ia menunjukkan lebihan seramai 6,675 atau 10.15 peratus banduan di fasiliti berkenaan.
“Jumlah tersebut meliputi 39 fasiliti penjara dan tiga fasiliti melibatkan Sekolah Henry Gurney,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Jumlah itu direkodkan sehingga 2 Februari lalu oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang meminta kerajaan memperincikan jumlah banduan dan perincian fasiliti penjara serta apakah nisbah warden penjara kepada bilangan banduan.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan nisbah pegawai penjara dengan banduan di setiap penjara adalah pada nisbah satu pegawai penjara kepada tiga hingga lima banduan.
Katanya, jumlah itu berubah berasaskan kepada kategori keselamatan penjara, kategori banduan serta keperluan dalam bentuk melaksanakan pelbagai program latihan dan pemulihan banduan.
“Jabatan Penjara dari semasa ke semasa menjalankan kajian mengenai kesesuaian nisbah pegawai penjara dengan banduan bagi memastikan keperluan dan penempatan pegawai adalah selaras dengan tahap keselamatan penjara, kategori banduan sesebuah penjara dan keperluan pemulihan,” katanya. -Malaysiapost